Selasa, 14 Ogos 2012

Mohon ALLAH berikanku KEKUATAN

"Sebelum mengharap Allah menilai kita dengan baik... didiklah diri menilai orang lain dengan baik terlebih dahulu. Yang penting bukan siapa yang kita lihat tetapi 'siapa kita' ketika melihatnya!"  Maksudnya, kita akan menilai seseorang dengan fikiran, hati dan perasaan kita. InsyaAllah, jika kita dapat melihat sisi baik pada diri seseorang itu petanda fikiran, hati dan perasaan kita juga baik. Syukurlah. Namun, jika sebaliknya, berhati-hatilah... itu petunjuk akan kejahatan diri kita bukan orang yang kita lihat.”

“Jalan-jalan menuju keredhaan Tuhan meliuk lentuk di celah-celah simpang siur karenah insan. Maafkan mereka, jika ingin keampunan Allah. Bantulah mereka, jika ingin bantuan Allah. Hubungan antara sesama manusia itulah medan bagi Allah mendidik sifat sabar, pemaaf, pemurah, redha, sangka baik dalam diri hamba-hambaNya yang soleh. Untuk akrab denganNya, Tuhan menguji kita melalui hamba-hambaNya.”

Sabtu, 23 Jun 2012

MENJADI SEORANG SUFI…


Setiap yang dilahirkan oleh manusia sama ada fikiran dan tindakannya adalah berpunca dari hati. Kalau baik hati, maka baiklah seluruh perbuatan dan pertuturan. Begitulah sebaliknya kalau hati jahat, maka jahatlah seluruh anggota badan.
 
Kedatangan Rasulullah SAW untuk memperbaiki akhlak manusia mendapat kejayaan kerana baginda berjaya mendidik hati manusia.
 
Sebab itu, kalau kita mahu berjaya dalam melahirkan peribadi yang baik sama ada pada diri atau dalam masyarakat kita, maka pendidikan hati hendaklah difikirkan dahulu.
 
Tetapi bukan semua manusia faham dan nampak bagaimana dan apa kesan hati kepada perlakuan manusia. Sebab itu manusia masih gagal membina hidup aman damai kerana gagal memahami bagaimana untuk mendidik hati supaya menjadi baik. Manusia juga gagal untuk mengubat penyakit hati yang telah merosakkan seluruh perbuatan zahir seseorang.
 
Oleh kerana itu manusia cukup sensitif dengan penyakit zahir tetapi tidak ambil pusing dengan penyakit batin. Penyakit bati yang dimaksudkan ini bukanlah penyakit jantung atau barah tetapi adalah penyakit mazmumah seperti riak, angkuh, dengki, ego, tamak, pemarah dan lain-lain lagi. Tidak ada alat x-ray yang dapat mengesan penyakit mazmumah kecuali ilmu tasawuf dan didikan dari seorang guru sufi.
 
Sebab itu kepentingan ilmu tasawuf dan pendidikan sufi  amat penting sekali demi menjamin kebahagiaan hidup manusia. Jadi, orang yang bercita-cita dan berazam untuk membersihkan hatinya dengan mengikut panduan ilmu dan didikan guru tasawuf, sebenarnya sedang menempuh jalan tasawuf.
 
Sekarang kita paparkan beberapa kisah ahli sufi yang jika kita ingin mengikut jejak ahli sufi maka ikutilah mereka. Kalau hendak menjadi seorang sufi jadilah seperti Nabi Musa yang memakai pakaian yang sederhana tetapi berani berhadapan dengan Firaun yang memakai pakaian maharaja. Atau jadilah seperti Nabi Sulaiman yang menjadi raja besar dengan segala kemewahan dan kekuasaan tetapi makanan hariannya cuma roti kering.
 
Satu ketika Nabi Sulaiman sedang melayang di atas tikar terbang diiringi oleh pengawalnya dari kaum jin. Datang peringatan dalam hatinya.  Jika dalam hatinya ada sebutir debu dari rasa takbur nescaya dia akan dibenamkan ke dasar bumi sedalam tingginya dia terbang di udara. Malah pernah Nabi Sulaiman berkata: “Satu kalimah Subhanallah lebih berharga bagiku dari segala dunia dan isinya.”
 
Menjadi orang sufi ertinya sanggup memikul tugas besar seperti Nabi Yusuf yang telah menjadi menteri Perbendaharaan. Baginda menyimpan makanan yang cukup selama tujuh tahun untuk berdepan dengan musim kemarau. Bukanlah dipanggil orang sufi jika menjadi masalah kepada masyarakat dan hidup dengan meminta belas kasihan dari orang ramai.
 
Seorang sufi bukanlah orang yang memutuskan nafsunya seperti seorang sami Buddha tetapi dia sanggup mengawalnya seperti Nabi Yusuf ketika berhadapan dengan godaan Zulaikha. Seorang sufi juga mesti sanggup menahan rasa sakit sepertimana Nabi Ayub, menahan penderitaan walaupun hanya tinggal hati dan lidahnya sahaja yang masih tidak dijangkit penyakit.
 
Apabila ditanya orang mengapa baginda tidak berdoa meminta sihat sedangkan baginda seorang Nabi yang makbul doanya. Lantas baginda berkata: “Aku malu untuk berdoa  pada Allah kerana aku baru ditimpa sakit selama dua tahun sedangkan Allah memberi aku sihat selama enam puluh tahun.”
 
Seorang sufi bukanlah orang yang lari daripada kemungkaran masyarakatnya tetapi dia adalah orang yag berjuang menegakkan makruf di tengah banjir kemungkaran. Kalaupun mereka lari, adalah dengan niat untuk membina kekuatan sebagai persediaan untuk kembali ke tengah gelanggang perjuangan. Seorang sufi adalah orang yang sanggup menurut jejak Nabi Ibrahim.
 
Baginda sanggup dibakar kerana meruntuhkan berhala pujaan Namrud dan rakyatnya. Jadilah pemimpin yang mempunyai jiwa sufi seperti Nabi Zulkifli yang tahan berhadapan dengan karenah pengikutnya. Atau milikilah kehebatan seperti Nabi Isa  A.S. yang sanggup berbantalkan lengan ketika tidur di malam hari.
 
Itulah hidup sufi yang dituntut oleh Allah pada kita untuk dimiliki. Syukur berhadapan dengan nikmat, sabar berhadapan dengan ujian, berani berhadapan dengan kezaliman, tawadhuk bila berhadapan dengan kebenaran dan dalam apa juga keadaan sekalipun hati tetap sama dan tenang tanpa cacat atau berubah.
 
Menjadi seorang sufi bukanlah mengalah pada semua  suasana dalam berhadapan dengan kekufuran, tetapi sufi sebenar sanggup berperang seperti peribadi Nabi Muhammad SAW yang ada kalanya berbicara dengan pedang apabila kata-kata gagal menahan serangan fizikal orang-orang Musyrikin.
 
Seorang sufi juga bukan orang yang lari daripada harta ketika diperlukan untuk mengendalikannya tetapi menjadi seperti Abdul Rahman bin Auf yang bertindak sebagai “bank” kepada masyarakat Islam. Namun jangan sampai ditawan oleh dunia seperti Tsa’labah. Seorang sufi juga adalah orang yang licin mengintip musuh seperti Abu Huzaifah ataupun mempunyai kepakaran strategi peperangan seperi Salman Al Farisi yang menjadi “master-mind” dalam Peperangan Khandak.
 
Nah, itulah peribadi contoh jika kita hendak mengikut jalan-jalan sufi. Bukan seperti sangkaan orang sekarang yang meletakkan hidup sufi sebagai hidup yang hina.  Pada sangkaan setengah orang, sufi menjadikan seseorang lepas bebas dari masyarakat sekelilingnya. Bila disebut sufi orang akan membayangkan seorang yang berjanggut dengan pakaian yang  buruk duduk tersepuk di mihrab-mihrab masjid menggetil tasbih.
 
Makanannya disedekahkan orang, sementara dia duduk sendirian mencari Tuhannya dalam ‘khalwat’ dan zikirnya. Bukan itu cara hidup sufi, kerana bukan seperti itu hidup para Rasul, Nabi dan para sahabat zaman dahulu!
 
Bukan itu yang dinamakan sufi. Kerana bukan itu cara hidup tokoh-tokoh sufi yang telah kita paparkan tadi. Walaupun tangan orang sufi selalu menggetil tasbih tetapi tangan itu juga sanggup memegang cangkul untuk bertani, tangan itu sanggup memegang pena untuk memerangi kebatilan dan ada masanya tangan itu juga sanggup memikul senjata memerangi kekufuran.
 
Semudah memetik biji-biji tasbih di dalam zikirnya, maka semudah itu jugalah ia mentadbir dunia ayang diamanahkan padanya. Kerana apa? Kerana hati yang berpaut pada Allah boleh mengendalikan apa sahaja dengan mudah dan berjaya
 
Rasulullah SAW sebelum berjaya menegakkan Islam telah melalui banyak ujian dan segala ujian itu sebenarnya menyuburkan jiwa sufi baginda. Rasulullah diuji menggembala kambing sebelum berjaya memimpin manusia. Rasulullah tetap sujud ketika dilonggokkan dengan perut unta yang busuk sebelum berjaya meruntuhkan berhala-berhala di sekeliling Kaabah.
 
Bermula dari dua buah gua iaitu gua Hira’ dan gua Thur maka bangkitlah satu kekuatan Islam yang menguasai dua pertiga dunia. Mana pejuang-pejuang sufi seperti peribadi mereka itu kini? Mana lambang pusat latihan kerohanian (gua-gua) yang tegak di zaman moden kini? Mana sekolah-sekolah latihan sufi yang sanggup mencabar sistem pendidikan sekular (penyambung lidah penjajah)? InsyaAllah, semuanya mula kelihatan mercup tumbuh sekarang.
 
Sesungguhnya kita memerlukan jiwa sufi yang dapat menggunakan kemodenan zaman ini untuk Islam. Orang-orang sufi mesti bangun menggunakan jentera-jentera moden, komputer, alat-alat elektronik dan segala gajet teknologi yang “sophisticated” untuk memperjuangkan Islam.
 
Pertahankanlah peribadi sufi yang kukuh pendirian, hidup berdisiplin dan boleh berada dalam kemewahan sedangkan hati sedikit pun tidak terpaut dengannya. Boleh menanggung derita tetapi jiwanya tidak keluh kesah. Maka jika kita mahu jadi orang sufi jadilah seperti mereka itu.

Rabu, 18 April 2012

BERDAMAILAH DENGAN TAKDIR…

Rasulullah mengajar kita supaya berdoa dengan doa ini:”Ya Allah janganlah Engkau serahkan diriku kepada diriku sendiri walaupun sekelip mata.”

Mengapa? kerana diri kita lemah, ilmu cuma ‘sekerat’, kudrat kita terhad. Mana mungkin kita dapat mengharungi kehidupan yang begitu mencabar ini hanya bersandarkan kekuatan diri. Justeru, dalam doa itu Rasulullah saw berpesan  agar serah dan pasrahkanlah hati serta diri kepada Allah.
Kita tidak mengetahui apa yang terbaik untuk diri kita sendiri. Kita hanya penerima, kita bukan Pemberi. Yang memberi ialah Allah, dan Allah menegaskan apa yang diberikanNya untuk kita adalah baik belaka. Namun akal kita tidak akan mampu mengetahui rahsia di sebalik yang pahit, pedih dan sakit. Mahunya yang manis-manis sahaja. Apatah lagi nafsu… ia akan memberontak apabila terjadi sesuatu yang berlawanan dengan kehendak tabienya.

Apabila berlaku sesuatu yang berlawanan dengan kehendak diri, berlakulah stres, marah dan sedih. Itu biasa. Hal itu sentiasa berlaku dalam kehidupan. Yang luar biasanya, apabila kita memilih untuk ‘berkelahi’ dengan takdir. Kita tidak menerima warna-warni kehidupan seadanya. Kita tidak berdamai dengan takdir sebaliknya memilih untuk memberontak, mempersoalkan dan melawannya. Persoalan kenapa? Mengapa? Sering menghantui jiwa.

Bayangkan kita sedang berjalan di tepi pantai sewaktu matahari mula terbenam. Warna di kaki langit menjadi jingga, oren dan kuning keemasan. Kita melihat dan menikmatinya sahaja. Kita tidak berkata, “sewajarnya ditambah warna kuning, dikurangkan warna jingga.”

Tidak! Kita tidak akan berkata begitu. Sebaliknya kita memilih untuk ‘bersahabat’ dengan alam dan menikmati lukisan alam seadanya. Hasilnya? Kita tenang. Kita nikmati alam seperti seadanya… akur kepada Pencipta senja.

Ironinya, sikap kita tidak begitu apabila berdepan dengan ‘lukisan takdir’ pada kanvas kehidupan kita. Sedangkan lukisan alam dan lukisan takdir itu sama-sama datangnya daripada Allah. Mengapa kita memilih untuk berkrisis dengan ketentuan Allah dan tidak mahu menerima semua itu seadanya?
Berusahalah dengan segala upaya yang dikurniakan Allah. Tidak salah, malah kita dituntut untuk mencorakkan kehidupan sendiri dengan panduan serta kekuatan yang dibekalkan oleh Allah jua. Namun, setelah berusaha dan bersusah payah semaksimumnya, letakkan segalanya di pinggiran. Jangan sekali-kali bersandarkan kepada diri, namun bertawakkal, bersangka baik dan berdoalah kepada Allah. Apapun nantinya hasilnya, katakan pada diri, “aku harap yang baik, Allah akan memberi yang baik.”

Jika yang diharapkan berlaku, syukur. Namun sekiranya berlaku sesuatu yang tidak dijangka dan tidak disangka… sabarlah. Belum tentu itu satu keburukan. Seringkali keberkatan, kebaikan dan kejayaan dibungkus oleh takdir dengan kepahitan, kerugian dan kegagalan. Seringkali kita gagal melihat hakikat ini ketika ia sedang berlaku… namun apabila sedikit masa berlalu barulah kita sedar, rupa-rupanya Allah takdirkan kita berundur ke belakang untuk mengambil lajak bagi melonjak lebih tinggi dan lebih jauh ke hadapan.

Inilah hakikat hidup yang dipilih Allah untuk kita. Kita akan terus berbaik sangka kepada Allah… DIA akan mengubat, melapang dan memberi kemenangan di sebalik setiap takdirNya. Ya, kita tidak akan tahu segalanya, kerana ilmu sekelumit cuma. Namun apabila Allah yang Maha Penyayang telah memilih itu kita maka yakinlah Kasih SayangNya sentiasa mendahului kemurkaanNya. Yang pahit itu akan menjadi ubat. Yang pedih itu akan menjadi penawar.

Jika itulah suara hati kita, mana mungkin kita gelisah, resah dan stres keterlaluan? Yakinlah, kita hamba Allah… Allah tidak akan mengecewakan kita!

Jumaat, 20 Mei 2011

MENGAPA MEREKA LEBIH BAIK?

Usai solat Subuh Jumaat sering menghadiahkan detik terbaik untuk bermuhasabah. Kita undur selangkah ke belakang, untuk melonjak beberapa langkah ke hadapan. Merenung kesilapan dan kesalahan silam, betapa dungunya dan terburu-burunya sikap kita yang selalunya sangat merugikan.
Akibatnya, sering kita kehilangan sahabat terapat. Renggang dengan orang tersayang. Dan yang paling tragis kehilangan rasa hati yang lembut, halus dan beradab.
Namun, segera teringat kata-kata pengukuhan yang bersemi dalam hati (terutamanya akhir-akhir ini), “sebaik sahaja mengambil pelajaran daripada masa silam… lupakan dan pandanglah masa depan – yesterday ended last night!
Jika punya kesempatan carilah ruang untuk memohon maaf, memohon doa dan melakukan amalan-amalan baik sebagai penebus kesalahan silam. Jika tidak, bertekadlah untuk tidak mengulanginya. Jangan jadikan ia trauma yang menghalang pencapaian kita hari ini dan esok.  Menyesal itu baik, tetapi ia bukan belenggu yang menghalang kita untuk mencipta kebaikan dan kecemerlangan baru.
Ya, pagi ini mentari masih bersinar, awan gemawan masih mewarnai dada langit dan udara masih dapat kita hirup seadanya. Alhamdulillah syukur… Apapun yang akan berlaku, asalkan kita dekat dengan Allah, lurus, tulus dan telus dalam hati, kesilapan kita akan diperbaiki. Bukankah kesilapan ini bukti yang kita masih manusia? Lalu kita akan selalu dan sentiasa memperperbaharui taubat. Come what may…  pahit, kita belajar bersabar, manis… kita melatih diri bersyukur.
Hari ini dan hari-hari seterusnya pasti ada air mata dan ketawa, ada mudah dan payah, ada patah dan tumbuh, modal kita cuma satu, hadapilah segalanya sebagai hamba Allah. Mengaku lemah, untuk diperkukuhkan-Nya, mengaku jahil untuk diberikan ilmu, mengaku miskin untuk diperkayakan-Nya. Kita beruasaha melurus segala tadbir, agar mampu menerima setulus segala takdir. Sentiasa mengharapkan yang terbaik, tetapi terus bersedia untuk hadapi yang terburuk.
Pesan ku buat diri dan sahabat-sahabat, kekalkan taubat. Istighfar dan selawat jadikan basahan bibir. Bila terlintas dan terjebak dengan dosa, bertaubat dan terus ‘hukum’ diri dengan melaksanakan satu kebaikan walaupun yang kita tidak suka. Ingat, orang yang sentiasa berlatih untuk berjaya ialah dia yang melaksanakan sekurang-kurangnya 3 perkara yang tidak disukainya (walaupun sangat perlu) dalam satu hari.
Apakah 3 perkara itu? Mungkin minta maaf kepada orang yang kita tidak sukai, mungkin membuat aktiviti yang selama  ini kita tangguhkan atau membuat panggilan kepada orang yang kita berhutang (sudah lebih masa tetapi belum berbayar). Carilah, carilah 3 perkara itu. Mungkin yang bersangkut dengan masa, harta, manusia atau dengan Allah. Ah, matahari telah cerah… mari kita melangkah. Tinggalkan segala resah. Pamitkan segala gelisah.
Hidup untuk memberi, bukan untuk membenci… siap siaganya untuk memberi senyuman, kebaikan, sedekah, kata-kata yang baik atau sekadar mendoakan.Memberi itu lebih membahagiakan daripada menerima. Tangan yang menghulur bunga mawar, pasti berbau harum. Jadilah tangan yang di atas, tangan yang selalu dan banyak memberi!
Ya, mentari kehidupan masih ada. Hari ini… esok? Belum tentu kita masih ada!!

Khamis, 21 April 2011

DI MANA KETENANGAN?

Kata pujangga, hidup dimulakan dengan tangisan, dicelahi oleh tangisan dan diakhiri oleh tangisan. Maksudnya hidup ini penuh dengan masalah, kesukaran dan kepahitan. Lihatlah betapa seorang bayi dilahirkan ke dunia dengan tangisan, apabila dewasa nanti hidupnya akan dicelahi oleh tangisan dan akhirnya dia akan mati lalu dihantar ke kubur dengan tangisan juga.

Mereka yang pesimis dengan hidup sering mengatakan bahawa hidup hanyalah untuk menyelesaikan masalah (life is to solve problems). Sebaik selesai satu masalah, masalah baru akan menjelama. Tidak lebih daripada itu. Malah ada yang lebih pesimis lagi dengan mengatakan hidup hanyalah untuk menderita!

Itu bukan sikap seorang muslim. Jika kita mengutuk hidup bererti kita mengutuk Penciptanya (Allah). Sedangkan Allah tidak menjadikan hidup ini untuk menderita. Maha Suci Allah, Dia Maha Pengasih lagi Maha Penyayang.  Hakikatnya, kita diciptakan untuk menikmatinya dan kemudian pulang ke akhirat untuk merasai kenikmatan yang abadi. Tetapi kita mesti berjuang untuk itu. Jadi, hidup sebenarnya untuk berjuang, bukan untuk menderita. Berjuang untuk menikmati kebahagian yang sementara demi mencapai kebahagian yang abadi!

Dalam hidup yang sementara ini kita dituntut mencari hati yang sejahtera (qalbun salim). Inilah kualiti hidup yang perlu dicari dan dinikmati. Dan ini jugalah ‘syurga dunia’ sebelum syurga akhirat. Malangnya ramai yang pentingkan kuantiti harta berbanding kualiti jiwa. Siang malam, manusia bertungkus-lumus menumpuk harta tanpa memperdulikan kesucian jiwa. Rumah semakin besar tetapi jiwa semakin sempit. Harta semakin melimpah tetapi hati semakin sakit.

Kualiti jiwa yang rendah menyebabkan timbulnya sifat mazmumah. Ini akan menimbulkan masalah kepada pemiliknya dan orang lain. Sifat marah, dendam, sombong, iri hati, hasad dengki dan sebagainya membunuh ketenangan dalam diri. Ini menyebabkan penyakit-penyakit lahiriah seperti darah tinggi, lemah jantung, ulser, kanser, diabetes dan lain-lain. Hubungan antara kesihatan hati (psikologi) dengan fisiologi ini telah lama diakui oleh pakar-pakar perubatan.

Orang miskin yang sabar masih boleh menikmati kehidupan yang tidak boleh dinikmati oleh orang kaya yang ego. Sebaliknya, tanpa sifat qanaah, sihartawan sekalipun akan terus tersiksa oleh kemiskinan jiwanya. Itulah yang dimaksudkan oleh Rasulullah saw melalui sabdanya bahawa kaya sebenar ialah kayanya jiwa.

Ada enam perkara yang sangat penting dan kritikal dalam kehidupan manusia. Jika keenam-enam perkara itu stabil maka stabillah seluruh kehidupan. Perkara-perkara itu adalah kesihatan, kewangan, kerjaya, ilmu pengetahuan, perhubungan dan kekeluargaan. Jika semua perkara itu dapat dicapai dan berada dalam keadaan stabil, maka kehidupan juga akan stabil.

Begitulah lumrah dunia, tidak ada seorang manusia pun yang memiliki segala-galanya. Jika demikian, apakah jalan keluar kita untuk mencapai kestabilan dalam hidup? Jawabnya, kuatkanlah iman. Ini kerana iman akan dapat menampung kekurangan dalam perkara-perkara yang lain. Jika seorang itu miskin, sakit, berpangkat rendah dan lain-lain kekurangan maka iman akan menampung kekurangan-kekurangan itu dengan sifat sabar, redha, qanaah, lapang dada dan tawakal.

Bila hati tidak berkualiti, segala yang dilihat, difikir, dirasa dan dibuat serba tidak kena dan tidak puas. Yang kaya, berkuasa dan ternama akan terus memburu kekayaan, keseronokan dan hiburan sehingga sanggup menempuh jalan yang salah untuk mencapai maksud yang tidak pernah puas. Mereka ini umpama meminum air laut, makin diminum semakin haus. Atau memburu fata morgana – bahang yang sangat panas disangka air.

Lihat sahaja Hosni Mubarak (Mesir), Zainal Abidin (Tunisia), Ghaddafi (Libya)… yang tidak cukup-cukup dengan kuasa. Atau Tiger Woods yang tidak cuku-cukup dengan wanita… Hakikatnya, berjaya mencapai kekuasaan, kekayaan, kecantikan dan lain-lain tanpa kualiti hati (iman) hanya akan menjurumuskan mansia kepada rasa kekosongan, kemurungan dan kebosanan. Inilah yang menyebabkan berlakuya penzinahan, rasuah, ketagihan dadah, arak dan sakit jiwa dikalangan individu-individu yang kaya, jelita, berkuasa dan sebagainya.

Orang mukmin itu memiliki keajiban dalam kehidupan. Apabila mendapat nikmat, dia akan bersyukur. Bila ditimpa musibah, dia mendapat hikmah. Semua yang dirasakan indah belaka kerana dia sudah mendapat ‘halawatul iman’ (kemanisan iman). Kemanisan iman itulah yang akan mencukupkan segala macam bentuk keperluan manusia  sama ada keperluan dalam bentuk kebendaan, pemikiran, perasaan dan kejiwaan.

Jika iman (kalimah syahadah) itu diumpamakan oleh Allah sebagai  pohon yang baik, maka kemanisan iman adalah rasa pada buah yang telah masak ranum, terhasil oleh kesuburan pohon yang telah berbatang, berdahan, berdaun dan berbuah itu. Firman Allah:
“Tidakkah kamu perhatikan bagaimana Allah telah membuat perumpamaan kalimat yang baik seperti pohon
Justeru, sudah menjadi kewajipan setiap orang Islam memburu kemanisan iman. Ia perlu dijadikan agenda utama dalam hidup mengatasi segala-galanya. Bahkan, jika disedari, pemburuan untuk merasai kemanisan iman ini adalah agenda seumur hidup. Kita hidup dengan iman, kita mati dengan iman dan kita pinta masuk ke dalam syurga dengan iman. Namun, mana mungkin kita boleh melakukan segala-galanya itu jika iman terasa pahit, pedih dan perit? Hanya orang yang rasa manis dengan iman sahaja yang mampu hidup dan mati bersamanya!

Apabila seseorang mencintai Allah, maka Allah akan mencintainya. Dan apabila seseorang dicintai Allah, maka hidup dan matinya akan dipermudahkan oleh Allah. Seluruh energi alam akan menyebelahinya. Di dalam hadis qudsi, Allah swt berfirman:
“Jika Allah mencintai seorang hamba maka Allah akan berkata, “Wahai Jibrail, Aku mencintai seorang hamba maka cintailah dia. Kemudian Jibrail memanggil penduduk langit dan berkata, “sesungguhnya Allah mencintai sifulan maka cintailah dia.” (musnad Imam Ahmad dari Abu Hurairah).

Sekali lagi saya ulangi, sebagai peringatan buat diri dan saudara-saudari, siapakah yang berani memusuhi kita sekiranya Allah mencintai kita? Marilah kita berusaha sedaya upaya untuk meraih cinta itu. Walaupun amat sukar tetapi itulah satu-satunya jalan ke arah keselamatan, ketenangan dan kebahagiaan. Sekalipun tidak sampai, tidak mengapa… asalkan kita telah menempuh jalannya. Allah sesungguhnya menilai apakah kita ‘sudah berjalan’ bukan pada apakah kita ‘sudah sampai’.

Ukuran iman di hati dapat dikesan melalui ketenangan yang kita rasai. Apakah kita telah tenang? Ataupun masih keloh-kesah dalam menghadapi ujian dan cabaran dalam kehidupan? Jawabnya, kita sendiri boleh menilainya. Justeru, apa yang berlaku di luar diri kita tidaklah sepenting dengan apa yang berlaku ‘di dalam’ hati kita. Jadi, berhati-hatilah menjaga hati… sentiasa solat (zikir), istighfar, selawat dan sedekah. Jangan dikotori dengan fitnah, hasad, mengumpat dan marah. Mujahadah… dan istiqamahlah dalam mujahadah. Itulah jalan yang panjang, tetapi itulah jalan yang paling pendek. Tidak ada jalan pintas!

Khamis, 14 April 2011

DIA BUKAN CINTA NOMBOR 1..

Bayangkan setiap 15 minit berlaku perceraian … Begitulah rapuhnya rumah tangga umat Islam di Malaysia. Rumah tangga adalah benteng terakhir ummah, tempat bermulanya tapak generasi. Jika di situ sudah bermasaalah,  di tempat lain tidak dapat dibayangkan lagi.  Ada sahaja kisah suami yang curang, isteri yang beralih cinta. Kekadang anak telah dua, tiga dan empat… tetapi masih ingin memburu cinta. Ada yang memburu di alam nyata (menjejak semula kekasih lama atau terjumpa kekasih baru), ada yang memburu cinta di alam siber – bencinta lewat laman sosial internet yang serba maya.


Entah apa yang diburu oleh manusia ini… yang hidup di dunia tanpa menyedari hari kembalinya yang pasti ke akhirat. Di mana diletakkan Allah dalam peta cintanya sesama manusia. Suami yang ada dipersia, lelaki lain pula dicari sebagai ganti. Konon suaminya tidak bertanggung jawab, tidak romantik, tidak pandai membelai atau apa sahaja. Berikan nama yang buruk pada anjing dan bunuh saja! Begitu kata pepatah Inggeris. Apabila hati sudah berubah, segala kebaikan dahulu dilupakan. Ada pula, isteri yang di sisi sudah setia, perempuan baru pula diburu kononnya demi cinta sejati. Segala yang buruk-buruk dibongkar, dijadikan justifikasi untuk menghalalkan cinta baru yang digilai siang dan malam.


Manusia-manusia itu seperti kelkatu yang terbang menuju sumber cahaya. Sudah ramai yang terhantuk lalu jatuh bergelimpanagan di lantai… namun kelkatu yang lain masih terus terbang menuju tempat yang sama. Tidak pernah ada yang mengambil iktibar daripada korban-korban yang telah bergelimpangan. Maka begitulah suami atau isteri yang tertipu ini, memburu cinta bagaikan kelkatu memburu cahaya…
Percayalah, tujuanmu tidak akan tercapai, bahkan akan terjadi kebinasaan. Namun dia degil, dia pergi jua. Percayalah, tidak akan ada ketenangan dan kebahagiaan di atas kesusahan, kezaliman dan penindasan terhadap orang lain (apatah lagi yang dizalimi itu isteri atau suami atau anak-anak mu sendiri). Allah benci orang zalim! Dan kebencian itu sudah cukup untuk menyebabkan penderitaan seumur hidup.

Mengapa kau zalimi anak mu, isteri atau suami mu? Apakah dosa mereka terlalu besar hingga kau tidak sudi lagi memaafkan? Apakah kau tidak menyedari bahawa pasangan mu adalah cermin kepada diri mu sendiri? Maksudnya, siapa pasangan kita ditentukan juga oleh siapa kita  yang sebenarnya? Dirimu dan pasanganmu saling mencorakkan. Ketika palitan hitam kau katakan ada pada wajahnya, sedarkah engkau bahawa kau juga yang pernah melakarkannya? Jadi, bertanggung jawablah. Jangan lari. Binalah semula rumah tangga mu… kerana cinta yang ada di tanganmu kini adalah nyata, manakala yang kau buru itu mungkin hanya fotomorgana. 


Bagi suami atau isteri yang ditinggalkan… sedarkan dia. Doakan dia. Berusahalah sedaya mungkin untuk ‘mengembalikan’ dia kepada cinta yang nyata. Namun kalau dia berdegil, biarlah dia pergi. Hidupmu terlalu singkat untuk ‘dirosakkan’ oleh dia seorang. Ingat dia itu bukan cinta nombor 1!

Nombor 1 Allah. Nombor 2 Rasulullah. Nombor 3, suami). Itulah turutan cinta seorang wanita bernama isteri, (jika  pada lelaki, nombor 3 itu ibu, no 4 itu apa, no 5 baru isteri). Agar tidak menderita, jagalah turutan cinta ini. Yang dahulu, wajar didahulukan. Yang kemudian, mesti dikemudiankan. Jangan disusun cinta itu begini… Nombor 1 suami. Nombor 2 suami. Nombor 3 pun suami. Ini tindakan yang bakal mengundang kecewa.

Ahad, 7 November 2010

Dunia PERNIAGAAN: kerana rezeki masuk NERAKA!

Dalam dunia PERNIAGAAN, wang rasuah ditukar istilahnya menjadi 'Duit Kopi'. Seperti Riba juga yang dahulunya dipanggil wang 'Bunga'. Indah bunyinya kan? Terasa cantik, sopan dan terhormat mungkin...

Orang Melayu-Islam sangat membenci khinzir-babi. Usahkan memakannya, terhidu baunya pun sudah meloyakan. Tapi benarkah orang Melayu-Islam membenci babi atas dasar iman-Islam? Tanpa kita sedar, inilah sebenarnya yang sedang berlaku dalam dunia PERNIAGAAN hari ini.

Biar sedikit, tetapi Halal dan Berkat. Justeru hayatilah Hadis dari Thauban katanya "Rasulullah s.a.w melaknat pemberi rasuah, penerima rasuah dan perantaranya." (Hadis Riwayat Ahmad & Hakim). Hadis ini pastinya jelas menunjukkan kita perlu berhati-hati dalam dunia PERNIAGAAN!!