Rabu, 18 Februari 2015

Cara Mencintai Islam Ialah Dengan Memperjuangkannya



Cara mempertahankan Islam ialah dengan mengamalkannya. Cara mencintai Islam ialah dengan memperjuangkannya. Inilah hakikatnya.

Namun, berapa ramai orang Islam yang mengaku mempertahankan Islam tetapi tidak mengamalkan ajaran Islam secara sepenuhnya dan menyeluruh.



Mana yang dirasakan sesuai dengan kehendaknya, diterima dan diamalkan. Manakala yang dirasakan merugikan dan mengancam kedudukan, dipinggirkan.

Sebab itu, kita lihat ramai yang begitu marah dengan Zionis kerana menyerang Islam, tetapi tingkah laku dan cara hidup mereka persis musuh yang mereka benci itu.

Betapa ramai pula yang mengaku mencintai Islam tetapi membiarkan Islam dihina dan dipersenda. Apalagi menyerang balas, mempertahankannya pun tidak mahu.

Sedangkan, kata Hasan al-Banna, “Kemanisan beragama hanya dapat dirasai oleh orang yang memperjuangkannya.” Bagaimana kita boleh mencintai Islam sekiranya kita tidak merasai kemanisannya dan bagaimana pula kita akan dapat kemanisannya tanpa memperjuangkannya?

Perangi musuhmu dengan senjata kasih sayang. Dengan kasih sayang kita bukan sahaja menawan fikiran tetapi yang penting dapat menawan hati. Betapa ramai, orang yang menang hujah, tetapi tetap ditolak kerana hati orang yang dihadapinya tidak tertarik dengan akhlaknya. Berapa ramai pula orang yang kalah hujah tetapi menang pengaruh kerana akhlaknya yang menawan.

Melalui sejarah perjuangan Rasulullah SAW kita boleh melihat dan merasai betapa indahnya praktik Islam dalam menghadapi pelbagai situasi dan kondisi. Islam tidak perlu disesuaikan mengikut zaman kerana Islam memang sesuai untuk sepanjang zaman. Realiti budaya, bahasa dan bangsa yang berbeza bukan alasan untuk menolak Islam. Islam itu mesra budaya, bangsa, bahasa dan warna kulit.

Komputer dicipta agar bersifat “user friendly”. Bentuk, sifat dan cara pengendaliannya memang untuk memudahkan. Manusia tidak kira apa latar belakangnya, mudah belajar mengggunakannya. Bayangkan, itu hanya komputer yang dicipta oleh manusia yang punya pelbagai kelemahan. Sedangkan Islam ialah ciptaan Allah, Yang Maha Sempurna. Islam tidak ada sebarang cela dan kecacatan. Percayalah, jika Islam dilihat tidak indah, maka mata hati yang melihat itulah yang tidak indah.

Islam merupakan pasangan hidup manusia untuk mencapai kejayaan di dunia dan akhirat. Tanpa Islam, akan berlaku kepincangan dan kekosongan. Hidup beragama tidak boleh diganti dengan hidup berharta dan berkuasa.

Adalah wajar umat Islam meniru dan belajar strategi Rasulullah SAW dalam perjuangan Baginda menegakkan Islam. Di tahap pertama perjuangannya (di Makkah) Baginda terlebih dahulu membina kekuatan iman dan takwa di dalam diri pengikutnya. Di peringkat ini, fokus Baginda hanyalah pada pembinaan kekuatan dalaman. Ketika ini walaupun ada serangan dalam bentuk fizikal hingga ke peringkat membunuh, Rasulullah tidak melawan walaupun ada sahabat yang terkorban.

Apabila penyeksaan sudah keterlaluan, Baginda mengarahkan beberapa orang sahabat berhijrah ke Habsyah dan kemudiannya Baginda sendiri berhijrah ke Madinah. Pada peringkat awal di Kota Madinah, Baginda memperkukuhkan tali persaudaraan dan kekuatan perpaduan dengan pembinaan masjid dan membina suasana aman dengan memeterai Piagam Madinah. Kekuatan ekonomi mula dibina dan sistem hidup yang memerlukan pelbagai kepakaran mula diterokai.

Apabila kekuatan Islam mula terserlah dan musuh terus mencabar, barulah Rasululah SAW mengangkat senjata dan berlakulah beberapa siri peperangan. Mula-mula peperangan Badar, kemudian Uhud dan akhirnya Khandak. Keberanian dan kepakaran dalam bidang ketenteraan tidak menggangu kecintaan Rasulullah SAW kepada perdamaian. Lalu berlakulah perjanjian Hudaibiyah.

Rasululah SAW berani berperang dan berani berdamai. Malah dalam kedua-dua keadaan tersulam satu kebijaksanaan, kejujuran dan kekuatan yang tidak dapat ditandingi. Akhirnya, dengan hati yang bertakwa, pemikiran yang strategik dan persediaan fizikal yang mantap, Makkah berjaya dibebaskan dan Islam tersebar di seluruh Jaziratul Arab.
Islam telah pernah menukar umat Arab jahiliah yang ganas, mungkar dan tidak berketerampilan menjadi satu bangsa yang agung dan bertamadun. Tetapi dengan syarat, Islam yang diyakini ialah Islam yang sebenar dan sempurna, bukan Islam yang terserpih dan tercemar. Islam yang mampu memberi kekuatan ialah Islam yang tergabung secara bersepadu antara persoalan akidah, syariah dan akhlak.

Jadi, untuk menambah kekuatannya, umat Islam mesti serius dengan agamanya. Keunggulan Islam tidak sepatutnya diterima dari sudut teori tetapi mesti diamalkan sebagai satu cara hidup yang merangkumi seluruh bidang kehidupan dan sistem hidup. Hasil pengamalan Islam secara total ini akan melahirkan hubungan yang lebih akrab dengan Tuhan (takwa), hubungan yang rapat sesama manusia (akhlak) dan kecemerlangan dalam seluruh bidang kehidupan (itqan). Takwa, akhlak dan itqan ialah tiga kekuatan rohaniah yang perlu diterokai dan dicapai oleh umat Islam masa kini.

Benarlah apa yang diucapkann oleh al-Hasan al-Basri bahawa, “Bukanlah iman itu dengan berangan-angan, bukan juga dengan perhiasan tetapi adalah sesuatu yang menetap di dalam hati dan dibenarkan dengan amalan….”[1] Umat Islam bukan umat “kambing gurun yang bertanduk panjang” – menempah tragedi dengan kelemahan dan kebodohan tetapi umat yang meniru strategi Rasul-Nya yang penuh kebijaksanaan (fatanah) dan keberanian (syaja’ah). Bukan sahaja berani tetapi bijak dalam menilai, membuat pertimbangan dan akhirnya bertindak.