“Jalan-jalan menuju keredhaan Tuhan meliuk lentuk di celah-celah simpang siur karenah insan. Maafkan mereka, jika ingin keampunan Allah. Bantulah mereka, jika ingin bantuan Allah. Hubungan antara sesama manusia itulah medan bagi Allah mendidik sifat sabar, pemaaf, pemurah, redha, sangka baik dalam diri hamba-hambaNya yang soleh. Untuk akrab denganNya, Tuhan menguji kita melalui hamba-hambaNya.”
Selasa, 14 Ogos 2012
Mohon ALLAH berikanku KEKUATAN
Sabtu, 23 Jun 2012
MENJADI SEORANG SUFI…
Setiap
yang dilahirkan oleh manusia sama ada fikiran dan tindakannya adalah
berpunca dari hati. Kalau baik hati, maka baiklah seluruh perbuatan dan
pertuturan. Begitulah sebaliknya kalau hati jahat, maka jahatlah seluruh
anggota badan.
Kedatangan Rasulullah SAW untuk memperbaiki akhlak manusia mendapat kejayaan kerana baginda berjaya mendidik hati manusia.
Sebab
itu, kalau kita mahu berjaya dalam melahirkan peribadi yang baik sama
ada pada diri atau dalam masyarakat kita, maka pendidikan hati hendaklah
difikirkan dahulu.
Tetapi
bukan semua manusia faham dan nampak bagaimana dan apa kesan hati
kepada perlakuan manusia. Sebab itu manusia masih gagal membina hidup
aman damai kerana gagal memahami bagaimana untuk mendidik hati supaya
menjadi baik. Manusia juga gagal untuk mengubat penyakit hati yang telah
merosakkan seluruh perbuatan zahir seseorang.
Oleh
kerana itu manusia cukup sensitif dengan penyakit zahir tetapi tidak
ambil pusing dengan penyakit batin. Penyakit bati yang dimaksudkan ini
bukanlah penyakit jantung atau barah tetapi adalah penyakit mazmumah
seperti riak, angkuh, dengki, ego, tamak, pemarah dan lain-lain lagi.
Tidak ada alat x-ray yang dapat mengesan penyakit mazmumah kecuali ilmu
tasawuf dan didikan dari seorang guru sufi.
Sebab
itu kepentingan ilmu tasawuf dan pendidikan sufi amat penting sekali
demi menjamin kebahagiaan hidup manusia. Jadi, orang yang bercita-cita
dan berazam untuk membersihkan hatinya dengan mengikut panduan ilmu dan
didikan guru tasawuf, sebenarnya sedang menempuh jalan tasawuf.
Sekarang
kita paparkan beberapa kisah ahli sufi yang jika kita ingin mengikut
jejak ahli sufi maka ikutilah mereka. Kalau hendak menjadi seorang sufi
jadilah seperti Nabi Musa yang memakai pakaian yang sederhana tetapi
berani berhadapan dengan Firaun yang memakai pakaian maharaja. Atau
jadilah seperti Nabi Sulaiman yang menjadi raja besar dengan segala
kemewahan dan kekuasaan tetapi makanan hariannya cuma roti kering.
Satu
ketika Nabi Sulaiman sedang melayang di atas tikar terbang diiringi
oleh pengawalnya dari kaum jin. Datang peringatan dalam hatinya. Jika
dalam hatinya ada sebutir debu dari rasa takbur nescaya dia akan
dibenamkan ke dasar bumi sedalam tingginya dia terbang di udara. Malah
pernah Nabi Sulaiman berkata: “Satu kalimah Subhanallah lebih berharga
bagiku dari segala dunia dan isinya.”
Menjadi
orang sufi ertinya sanggup memikul tugas besar seperti Nabi Yusuf yang
telah menjadi menteri Perbendaharaan. Baginda menyimpan makanan yang
cukup selama tujuh tahun untuk berdepan dengan musim kemarau. Bukanlah
dipanggil orang sufi jika menjadi masalah kepada masyarakat dan hidup
dengan meminta belas kasihan dari orang ramai.
Seorang
sufi bukanlah orang yang memutuskan nafsunya seperti seorang sami
Buddha tetapi dia sanggup mengawalnya seperti Nabi Yusuf ketika
berhadapan dengan godaan Zulaikha. Seorang sufi juga mesti sanggup
menahan rasa sakit sepertimana Nabi Ayub, menahan penderitaan walaupun
hanya tinggal hati dan lidahnya sahaja yang masih tidak dijangkit
penyakit.
Apabila
ditanya orang mengapa baginda tidak berdoa meminta sihat sedangkan
baginda seorang Nabi yang makbul doanya. Lantas baginda berkata: “Aku
malu untuk berdoa pada Allah kerana aku baru ditimpa sakit selama dua
tahun sedangkan Allah memberi aku sihat selama enam puluh tahun.”
Seorang
sufi bukanlah orang yang lari daripada kemungkaran masyarakatnya tetapi
dia adalah orang yag berjuang menegakkan makruf di tengah banjir
kemungkaran. Kalaupun mereka lari, adalah dengan niat untuk membina
kekuatan sebagai persediaan untuk kembali ke tengah gelanggang
perjuangan. Seorang sufi adalah orang yang sanggup menurut jejak Nabi
Ibrahim.
Baginda
sanggup dibakar kerana meruntuhkan berhala pujaan Namrud dan rakyatnya.
Jadilah pemimpin yang mempunyai jiwa sufi seperti Nabi Zulkifli yang
tahan berhadapan dengan karenah pengikutnya. Atau milikilah kehebatan
seperti Nabi Isa A.S. yang sanggup berbantalkan lengan ketika tidur di
malam hari.
Itulah
hidup sufi yang dituntut oleh Allah pada kita untuk dimiliki. Syukur
berhadapan dengan nikmat, sabar berhadapan dengan ujian, berani
berhadapan dengan kezaliman, tawadhuk bila berhadapan dengan kebenaran
dan dalam apa juga keadaan sekalipun hati tetap sama dan tenang tanpa
cacat atau berubah.
Menjadi
seorang sufi bukanlah mengalah pada semua suasana dalam berhadapan
dengan kekufuran, tetapi sufi sebenar sanggup berperang seperti peribadi
Nabi Muhammad SAW yang ada kalanya berbicara dengan pedang apabila
kata-kata gagal menahan serangan fizikal orang-orang Musyrikin.
Seorang
sufi juga bukan orang yang lari daripada harta ketika diperlukan untuk
mengendalikannya tetapi menjadi seperti Abdul Rahman bin Auf yang
bertindak sebagai “bank” kepada masyarakat Islam. Namun jangan sampai
ditawan oleh dunia seperti Tsa’labah. Seorang sufi juga adalah orang
yang licin mengintip musuh seperti Abu Huzaifah ataupun mempunyai
kepakaran strategi peperangan seperi Salman Al Farisi yang menjadi
“master-mind” dalam Peperangan Khandak.
Nah,
itulah peribadi contoh jika kita hendak mengikut jalan-jalan sufi.
Bukan seperti sangkaan orang sekarang yang meletakkan hidup sufi sebagai
hidup yang hina. Pada sangkaan setengah orang, sufi menjadikan
seseorang lepas bebas dari masyarakat sekelilingnya. Bila disebut sufi
orang akan membayangkan seorang yang berjanggut dengan pakaian yang
buruk duduk tersepuk di mihrab-mihrab masjid menggetil tasbih.
Makanannya
disedekahkan orang, sementara dia duduk sendirian mencari Tuhannya
dalam ‘khalwat’ dan zikirnya. Bukan itu cara hidup sufi, kerana bukan
seperti itu hidup para Rasul, Nabi dan para sahabat zaman dahulu!
Bukan
itu yang dinamakan sufi. Kerana bukan itu cara hidup tokoh-tokoh sufi
yang telah kita paparkan tadi. Walaupun tangan orang sufi selalu
menggetil tasbih tetapi tangan itu juga sanggup memegang cangkul untuk
bertani, tangan itu sanggup memegang pena untuk memerangi kebatilan dan
ada masanya tangan itu juga sanggup memikul senjata memerangi kekufuran.
Semudah
memetik biji-biji tasbih di dalam zikirnya, maka semudah itu jugalah ia
mentadbir dunia ayang diamanahkan padanya. Kerana apa? Kerana hati yang
berpaut pada Allah boleh mengendalikan apa sahaja dengan mudah dan
berjaya
Rasulullah
SAW sebelum berjaya menegakkan Islam telah melalui banyak ujian dan
segala ujian itu sebenarnya menyuburkan jiwa sufi baginda. Rasulullah
diuji menggembala kambing sebelum berjaya memimpin manusia. Rasulullah
tetap sujud ketika dilonggokkan dengan perut unta yang busuk sebelum
berjaya meruntuhkan berhala-berhala di sekeliling Kaabah.
Bermula
dari dua buah gua iaitu gua Hira’ dan gua Thur maka bangkitlah satu
kekuatan Islam yang menguasai dua pertiga dunia. Mana pejuang-pejuang
sufi seperti peribadi mereka itu kini? Mana lambang pusat latihan
kerohanian (gua-gua) yang tegak di zaman moden kini? Mana
sekolah-sekolah latihan sufi yang sanggup mencabar sistem pendidikan
sekular (penyambung lidah penjajah)? InsyaAllah, semuanya mula kelihatan
mercup tumbuh sekarang.
Sesungguhnya
kita memerlukan jiwa sufi yang dapat menggunakan kemodenan zaman ini
untuk Islam. Orang-orang sufi mesti bangun menggunakan jentera-jentera
moden, komputer, alat-alat elektronik dan segala gajet teknologi yang
“sophisticated” untuk memperjuangkan Islam.
Pertahankanlah
peribadi sufi yang kukuh pendirian, hidup berdisiplin dan boleh berada
dalam kemewahan sedangkan hati sedikit pun tidak terpaut dengannya.
Boleh menanggung derita tetapi jiwanya tidak keluh kesah. Maka jika kita
mahu jadi orang sufi jadilah seperti mereka itu.
Rabu, 18 April 2012
BERDAMAILAH DENGAN TAKDIR…
Mengapa? kerana diri kita lemah, ilmu cuma ‘sekerat’, kudrat kita terhad. Mana mungkin kita dapat mengharungi kehidupan yang begitu mencabar ini hanya bersandarkan kekuatan diri. Justeru, dalam doa itu Rasulullah saw berpesan agar serah dan pasrahkanlah hati serta diri kepada Allah.
Kita tidak mengetahui apa yang terbaik untuk diri kita sendiri. Kita hanya penerima, kita bukan Pemberi. Yang memberi ialah Allah, dan Allah menegaskan apa yang diberikanNya untuk kita adalah baik belaka. Namun akal kita tidak akan mampu mengetahui rahsia di sebalik yang pahit, pedih dan sakit. Mahunya yang manis-manis sahaja. Apatah lagi nafsu… ia akan memberontak apabila terjadi sesuatu yang berlawanan dengan kehendak tabienya.
Apabila berlaku sesuatu yang berlawanan dengan kehendak diri, berlakulah stres, marah dan sedih. Itu biasa. Hal itu sentiasa berlaku dalam kehidupan. Yang luar biasanya, apabila kita memilih untuk ‘berkelahi’ dengan takdir. Kita tidak menerima warna-warni kehidupan seadanya. Kita tidak berdamai dengan takdir sebaliknya memilih untuk memberontak, mempersoalkan dan melawannya. Persoalan kenapa? Mengapa? Sering menghantui jiwa.
Bayangkan kita sedang berjalan di tepi pantai sewaktu matahari mula terbenam. Warna di kaki langit menjadi jingga, oren dan kuning keemasan. Kita melihat dan menikmatinya sahaja. Kita tidak berkata, “sewajarnya ditambah warna kuning, dikurangkan warna jingga.”
Tidak! Kita tidak akan berkata begitu. Sebaliknya kita memilih untuk ‘bersahabat’ dengan alam dan menikmati lukisan alam seadanya. Hasilnya? Kita tenang. Kita nikmati alam seperti seadanya… akur kepada Pencipta senja.
Ironinya, sikap kita tidak begitu apabila berdepan dengan ‘lukisan takdir’ pada kanvas kehidupan kita. Sedangkan lukisan alam dan lukisan takdir itu sama-sama datangnya daripada Allah. Mengapa kita memilih untuk berkrisis dengan ketentuan Allah dan tidak mahu menerima semua itu seadanya?
Berusahalah dengan segala upaya yang dikurniakan Allah. Tidak salah, malah kita dituntut untuk mencorakkan kehidupan sendiri dengan panduan serta kekuatan yang dibekalkan oleh Allah jua. Namun, setelah berusaha dan bersusah payah semaksimumnya, letakkan segalanya di pinggiran. Jangan sekali-kali bersandarkan kepada diri, namun bertawakkal, bersangka baik dan berdoalah kepada Allah. Apapun nantinya hasilnya, katakan pada diri, “aku harap yang baik, Allah akan memberi yang baik.”
Jika yang diharapkan berlaku, syukur. Namun sekiranya berlaku sesuatu yang tidak dijangka dan tidak disangka… sabarlah. Belum tentu itu satu keburukan. Seringkali keberkatan, kebaikan dan kejayaan dibungkus oleh takdir dengan kepahitan, kerugian dan kegagalan. Seringkali kita gagal melihat hakikat ini ketika ia sedang berlaku… namun apabila sedikit masa berlalu barulah kita sedar, rupa-rupanya Allah takdirkan kita berundur ke belakang untuk mengambil lajak bagi melonjak lebih tinggi dan lebih jauh ke hadapan.
Inilah hakikat hidup yang dipilih Allah untuk kita. Kita akan terus berbaik sangka kepada Allah… DIA akan mengubat, melapang dan memberi kemenangan di sebalik setiap takdirNya. Ya, kita tidak akan tahu segalanya, kerana ilmu sekelumit cuma. Namun apabila Allah yang Maha Penyayang telah memilih itu kita maka yakinlah Kasih SayangNya sentiasa mendahului kemurkaanNya. Yang pahit itu akan menjadi ubat. Yang pedih itu akan menjadi penawar.
Jika itulah suara hati kita, mana mungkin kita gelisah, resah dan stres keterlaluan? Yakinlah, kita hamba Allah… Allah tidak akan mengecewakan kita!
Langgan:
Catatan (Atom)